Sunday, January 24, 2010

Salam Takziah Di Atas Kemangkatan Sultan Johor.

Salam takziah kepada DYMM Sultanah Zanariah Binti Almarhum Tengku Ahmad dan seluruh kerabat Diraja serta rakyat Negeri Johor di atas kemangkatan DYMM Sultan Johor iaitu Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail pada hari Jumaat, 22 Januari 2010.

Sesungguhnya, setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Yang bermula akan berakhir. Demikianlah aturan yang telah ditetapkan oleh Allah swt kepada setiap makhluknya. Setiap kehilangan pasti akan diratapi kesedihan, namun sebagai insan yang sedar dan insaf akan kekuasaan Allah, kita hendaklah redha dengan apa yang telah dijanjikan.

Semoga roh almarhum akan ditempatkan bersama kalangan orang-orang yang beriman. Sebagai salah seorang rakyat Malaysia, saya turut berasa sedih apabila mendapat khabar akan kemangkatan almarhum Tuanku. Apatah lagi masih teringat akan detik-detik almarhum Tuanku semasa menjadi Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia yang ke-8 suatu ketika dahulu. Paling melekat di hati apabila almarhum Tuanku dengan begitu bersahaja menunjukkan kehebatan menunggang sebuah motorsikal berkuasa tinggi semasa perarakan sambutan kemerdekaan negara. Terasa bangga dan kagum dengan kebolehan almarhum.

Dalam masa yang sama, saya merakamkan ucapan menjunjung tahniah di atas perlantikan DYMM Sultan Ibrahim Ismail sebagai Sultan Johor yang baru. Semoga DYMM Tuanku akan menjadi seorang raja yang adil, bijaksana dan terus cakna akan kebajikan seluruh rakyat Johor.

Wednesday, January 20, 2010

Adindaku telah mangkat.

Dua hari lepas, pada tanggal 18 Januari 2010, salah seorang adinda yang disayangi (kedua bongsu) telah pergi mengadap Illahi setelah jatuh gering untuk beberapa minggu. Tepat jam 5.07 petang, dia telah meghembuskan nafasnya yang terakhir di sisi hampir seluruh ahli keluarga.

Pemergiannya amat dirasai oleh kami sekeluarga apatah lagi dia meninggalkan kami dalam usia yang masih dikira muda, iaitu genap usianya 28 tahun 44 hari. Sampai ke hari ini, masih lagi terbayang raut wajahnya, tutur katanya, permintaannya sampailah ke saat-saat nafas terakhir. Namun, ketentuan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui mengatasi segala-galanya. Justeru, kami redha walaupun kesedihan begitu terasa.

Mudah-mudahan Allah mengampunkan segala dosanya, dilapangkan dirinya di alam barzakh dan ditempatkan rohnya di kalangan orang-orang yang beriman. Bersemadilah wahai adindaku dengan tenang dan damai.

Al-fatihah...

Wednesday, January 13, 2010

Krisis Istana Kelantan.

Hari ini, akhbar Berita Harian menyiarkan berita muka depan bertajuk 'Istana Jumpa Rakyat' iaitu berkenaan siri penerangan pihak istana berhubung dengan kemelut atau lebih tepat disebut krisis yang berlaku dalam keluarga istana Kelantan berikutan kegeringan KDYMM Al-Sultan Kelantan sejak bulan Mei tahun lepas. Sesungguhnya usaha ini amat baik dan perlu untuk memberikan penjelasan kepada rakyat tentang situasi yang sedang berlaku. Akhbar itu memetik kenyataan Pengelola Istana Kelantan tentang perlunya rakyat mengelakkan diri untuk bercakap sembarangan tentang perkembangan terkini yang sedang berlaku demi memelihara kemuliaan institusi istana.

Namun, bagi saya yang terlebih penting ialah agar krisis perebutan hak untuk mewakili KDYMM Sultan dapat diselesaikan dengan baik dan segera kerana ia amat tidak molek kepada kelangsungan dan kemuliaan institusi Kesultanan Negeri Kelantan. Secara zahirnya, telah jelas dalam Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan bahawa Tengku Mahkota akan dilantik sebagai Pemangku Raja apabila berlaku sesuatu musibah ke atas KDYMM Sultan sama ada gering atau tidak berada dalam negeri untuk sesuatu tempoh tertentu. Justeru itu, semua pihak harus menghormati dan taat kepada titah perintah YTM Pemangku Raja. Jika ini difahami dan dituruti, nescaya krisis yang sedang kita saksikan sekarang tidak akan berlaku.

Kita sebenarnya tidak mengetahui akan sebab sebenar kenapa boleh timbul krisis ini. Hanya keluarga diraja terdekat sahaja yang benar-benar tahu. Oleh yang demikian, kita haruslah mengelakkan diri dari bercakap atau berbincang tanpa usul periksa kerana ia hanya mengundang kepada suasana yang lebih 'tidak selesa'. Sebaiknya kita berdoa agar krisis ini akan cepat selesai dan agar KDYMM Sultan cepat sembuh.

Kita memohon kepada kebijaksanaan YTM Pemangku Raja untuk mengendalikan kemelut keluarga ini dengan penuh berhemah. Mungkin ini adalah ujian pertama kepada YTM sebagai Pemangku Raja yang pastinya nanti akan mewarisi takhta Kesultanan Kelantan. Semoga kebijaksanaan YTM Tuanku akan mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negeri Kelantan.

Raja Payung Rakyat...

Monday, January 11, 2010

Selamat Tahun Baru 2010...

Alhamdulillah dan berbanyak syukur kita ke hadrat Allah swt kerana masih diberi kesempatan kepada kita semua menikmati dan meneruskan kehidupan pada tahun 2010. Sesungguhnya kesempatan dan peluang nikmat yang dianugerahkan Allah ini hendaklah kita gunakan sebaik-baiknya untuk berbuat kebajikan dan kebaikan bukan sahaja untuk diri sendiri, malahan kepada alam sejagat.

Namun demikian, situasi kehidupan baik politik, sosial dan ekonomi negara kita kini nampaknya tidak begitu sihat. Lanjutan masalah tahun 2009 terus dipanjangkan kepada tahun 2010 ini. Seharusnya kita sebagai rakyat terbanyak perlu merasa gusar dan khuatir dengan situasi tidak sihat ini demi kepentingan kita semua.

Permasalahan politik nampaknya terus mendominasi segala hal. Baik percakaran politik kepartian parti-parti sama ada dari Barisan Nasional mahupun Pakatan Rakyat. Tidak kira apa pun alasan yang diberikan, ternyata setiap parti-parti ini menghadapi masalah dalaman masing-masing. Paling menonjol ialah kemelut Parti MCA yang masih tidak menunjukkan jalan penyelesaiannya walaupun sudah melangkah ke tahun baru. UMNO agak tenang sedikit buat masa ini, ataupun berjaya menampakkan dirinya agak selesa dari kemelut perebutan kuasa dalam parti. Parti PAS turut dilihat tidak mahu ketinggalan mencipta isu untuk menampakkan dirinya juga ada 'politiking' dalaman, yang sampai kini masih berlanjutan dan belum ada kesudahan. Parti-parti lain seperti Gerakan, DAP dan Keadilan seperti tenang dan selesa buat masa ini.

Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa kedatangan tahun baru 2010 menyaksikan Kelantan menjadi tumpuan ramai peminat politik tanahair. Isunya bermula dengan serangan politik ke atas batang tubuh Tok Guru Nik Aziz, yang kemudian dikaitkan dengan isu jawatan menantunya di Perbadanan Menteri Besar. Kemudian seakan-akan satu bonus pula bagi pihak berkepentingan yang terlalu ingin untuk menyaksikan kejatuhan Tok Guru dan Kerajaan Pas Kelantan amnya apabila berlakunya 'politiking' dalaman Istana Kelantan berikutan kegeringan KDYMM Al-Sultan. Sehingga kini, kesemua isu ini belum menampakkan tanda-tanda akan selesai, malah sedang diperbesarkan oleh pihak-pihak tertentu. Saya cukup merasa terkilan dengan situasi yang tidak sihat ini kerana seolah-olah kita langsung tidak menghormati dan bersedih di atas kegeringan KDYMM Tuanku Sultan. Di saat Tuanku Sultan sedang gering dan bertarung untuk sembuh, 'kita' yang sihat ini sedang berebut dan bercakaran demi kuasa. Harapan saya, suasana yang tidak sihat ini tidak akan berpanjangan demi kesejahteraan Al-Sultan, rakyat dan negeri Kelantan.

Melihat pula kepada situasi ekonomi negara, seharusnya kita semua perlu merasa bimbang kerana keadaan ekonomi negara yang begitu buruk. Sepatutnya semua pihak menumpukan kepada usaha-usaha pemulihan ekonomi, bukannya terus hanyut dengan kepentingan politik diri dan parti kerana kesannya yang paling teruk akibat situasi ekonomi ini adalah rakyat terbanyak. Namun, malangnya sehingga kini kita masih alpa dan leka untuk bermain politik dan mencipta isu-isu sensasi sehingga kita lupa agenda ekonomi yang perlu menjadi keutamaan.

Terkini, situasi yang cukup menakutkan jika tidak ditangani dengan baik ialah isu berkaitan hubungan sosial khususnya melibatkan agama. Tindakan pihak tertentu yang cuba menangguk di air keruh hasil sikap keterbukaan kerajaaan dewasa ini menyaksikan keharmonian beragama di negara ini mula tercalar. Isu penggunaan kalimah Allah sepertimana yang sedang kita saksikan sekarang, merupakan bibit-bibit yang boleh menghancurkan perpaduan rakyat yang berbilang agama sekiranya tidak ditangani dengan baik dan bijaksana.

Pada tahun baru 2010 ini, sebagaimana yang sebetulnya, kita semua baik kerajaan, pembangkang, parti-parti politik dan rakyat tidak kira keturunan dan agama menggembeling tenaga dan memacu usaha serta melapangkan minda untuk sama-sama bersatu membangunkan negara kita yang tercinta ini demi untuk sebuah kehidupan yang baik, makmur, aman dan selesa. Buanglah segala permasalahan dan agenda kepentingan diri sendiri demi manfaat bersama. Hargailah keamanan dan kemakmuran yang telah kita kecapi selama ini.

Mudah-mudahan Allah memberikan pertolonganNya kepada kita semua...Amin.