Monday, June 29, 2009

Pabila ajal tiba...

Seluruh dunia khususnya peminat bintang pop tersohor Amerika Michael Jackson sedang meratapi kematian penyanyi itu dua tiga hari lepas. Michael dikatakan meninggal secara mengejut apabila jantungnya dikatakan tiba-tiba berhenti kesan terlebih dos ubat penahan sakit. Apapun alasannya, yang pasti bila ajal tiba, manusia akan tetap mati.

Saya tidak bermaksud untuk mengulas tentang sebab kematiannya. Sekadar untuk menyebut atau mengimbas kembali tentang seorang manusia yang diberi kelebihan oleh Allah swt semasa hayat hidupnya. Kelebihan Michael telah menjadikannya penyanyi tersohor, dilimpahi kekayaan dan hidup penuh dengan kemewahan, sehingga menjadikannya sorang manusia yang takbur dan angkuh dengan ketentuan Tuhan ke atas dirinya.

Daripada seorang budak Afro-Afrika yang hitam, dia berusaha mengubah keadaan fizikal dirinya yang pada anggapannya tidak sempurna. Dari bentuk rambut, warna kulit, bentuk hidung, pipi, dagu dan mulut, telah diubahnya dengan bantuan kepakaran manusia yang terhad. Hasilnya lahairlah seorang Michael Jackson yang baru, yang penuh dengan ketidaksempurnaan. Pernah suatu ketika dia membeli balang oksigen dan tidur di dalamnya untuk memanjangkan hayatnya.

Kuasa wang dan kekayaan selalunya menjadikan manusia buta dan boleh ke tahap mencabar Tuhan. Tapi manusia tetap manusia sebagai makhluk yang dijadikan. Mana mungkin boleh mencabar kesempurnaan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Makanya, sekarang kita menyaksikan seorang manusia bernama Michael Jackson akhirnya mati jua pada usia 50 tahun. Teringat saya akan kisah Maharaja China yang pertama iaitu Shih Huang Ti yang berusaha mencari pelbagai jenis ubat untuk hidup selamanya, tetapi akhirnya mati dalam usia muda.

Moga-moga kisah ini boleh menjadi iktibar kepada kita semua. Setiap kejadian yang ditentukan Allah itu telah pun sempurna dan pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian kita. Walau bagaimana pun, saya tetap bersyukur kerana Michael ditemukan dengan hidayah Allah apabila didakwa menganut agama Islam pada penghujung hayatnya.

Salam takziah buat keluarga Michael@ Mikail.

Tuesday, June 23, 2009

Reda juga akhirnya...

Akhirnya isu kerajaan perpaduan (UG) yang heboh dan kecoh beberapa minggu lepas reda atau boleh dianggap selesai (?). Harap-harapnya isu ini tidak akan berbangkit lagi setelah semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat membuat kenyataan menolak kerjasama dengan Umno dan BN khusus dalam isu pembentukan kerajaan perpaduan. Tok Guru Nik Aziz juga sudah menarik balik kenyataannya kepada Nasharuddin Mat Isa. Terlebih utama agar pimpinan Pas menjadi lebih cerdik dan sedar akan kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat.

Isu ini (UG/KP) tidak sepatutnya timbul jika pihak Pas tidak memulakannya. Adalah jelas semua kekecohan ini berpunca daripada tindakan segelintir individu yang memegang teraju kepimpinan Pas yang agak 'kebulur' untuk bekerjasama dengan Umno dan kita semua sudah jelas siapakah mereka itu. Bila berlaku penentangan hebat daripada Mursyidul Am dan sebahagian besar ahli-ahli Pas, maka mereka ini mula mengeluarkan alasan demi alasan untuk mencuci tangan dan mengeluarkan kenyataan akan tetap bersama dengan Pakatan Rakyat. Dek kerana tindakan mereka, semua orang susah, kecoh dan keliru.

Hendaknya ketenangan dan kesepakatan dalam PR akan terus berkekalan dan sekarang semuanya boleh menumpukan tenaga dan kerja untuk menghadapi pilihanraya kecil Manek Urai.

Friday, June 19, 2009

Hikmah di sebalik pergolakan Pas..

Mahu tidak mahu, kita tetap perlu menerima hakikat bahawa parti Pas sekarang ini sedang mengalami pergolakan dalaman angkara isu kerajaan perpaduan. Sama ada ianya serius atau tidak bukan persoalannya. Apa yang hendak saya sentuh dalam ruangan ini ialah berkenaan hikmah yang perlu kita renungi bersama.

Selama ini mungkin ramai ahli Pas dan penyokong Pas dari luar parti serta yang tidak berapa mengenali pimpinan Pas dari dekat merasakan bahawa pimpinan Pas hari ini adalah yang terbaik atau pun lebih baik dari mana-mana pimpinan parti lain. Saya juga turut berpandangan yang sama. Namun, setelah munculnya isu kerajaan perpaduan ini, dan menyaksikan kenyataan yang pro dan kontra terhadap idea KP (Kerajaan Perpaduan) ini, barulah kita mula melihat mana pemimpin Pas yang benar-benar berjuang untuk merealisasikan matlamat parti, dan mana yang berselindung untuk kepentingan diri.

Satu persatu pemimpin jenis kedua ini (menggunakan Pas untuk kepentingan diri) mula terdedah dan semakin jelas kepada kita. Demikian juga satu persatu kita makin meyakini jenis pimpinan Pas yang betul-betul ikhlas untuk perjuangan parti. Di sinilah hikmah yang saya sebutkan pada awal tulisan tadi. Jika tidak kerana isu KP ini, pasti masih ramai yang sangsi dan tidak percaya akan wujudnya petualang dalam Pas.

Justeru itu, saya berdoa dan mengharapkan Mursyidul Am Pas bersama pimpinan lain yang komited dengan parti dan Islam akan terus mendapat kekuatan dari Allah swt untuk menghadapi golongan 'munafik' dalam Pas ini dan seterusnya membersihkan parti untuk terus maju ke hadapan bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Wednesday, June 17, 2009

DYMM Raja Perempuan Kelantan.

Saya agak terkejut apabila membaca beberapa artikel berkenaan perihal DYMM Raja Perempuan Kelantan Tengku Anis Binti Al-marhum Tengku Abdul Hamid yang kesemuanya adalah bersifat negatif. Saya tidak pasti sama ada mahu mempercayai atau tidak akan kebenaran tuduhan dalam artikel tersebut dan rasanya saya tidak perlu untuk saya mengulas tentang hal itu.

Cuma, saya ingin berkongsi sedikit pengalaman tentang kebaikan dan keprihatinan DYMM Raja Perempuan Kelantan di atas beberapa peristiwa yang melibatkan kepentingan rakyat jelata dan yang saya alami sendiri bersama DYMM Tuanku.

Beberapa tahun lepas, saya pernah mengajukan permohonan kepada pihak-pihak berkuasa tempatan malah ke peringkat pengetahuan bekas Perdana Menteri Abdullah Badawi tentang masalah perhubungan jalanraya yang tidak sempurna ke sebuah penempatan rakyat di Jajahan Gua Musang. Malangnya tidak mendapat sebarang tindakbalas positif melainkan janji demi janji sedangkan masalah ini sudah berlanjutan 20 tahun lebih. Maka saya memberanikan diri memanjatkan masalah ini kepada pengetahuan DYMM Raja Perempuan dan terus mendapat reaksi segera daripada DYMM Tuanku. Alhamdulillah proses pembinaan jalanraya yang lebih sempurna sedang giat dilakukan sekarang dan insya-Allah penghujung tahun ini akan siap. Apapun saya yakin peranan baginda lah yang mempercepatkan pembinaan jalan ini.

Keduanya, berkenaan masalah pengambilan tanah yang diusahakan rakyat jelata oleh sebuah syarikat perladangan juga di Jajahan Gua Musang. Sekali lagi saya memberanikan diri memohon limpah perkenan DYMM Raja Perempuan untuk campurtangan menyelesaikan masalah ini. Alhamdulillah sekali lagi saya memanjat syukur kepada Allah kerana hasil keprihatinan DYMM Tuanku, tanah-tanah yang diambil itu akhirnya dikembalikan kepada rakyat jelata.

Satu pengalaman manis yang tidak akan saya lupakan apabila dalam satu majlis rasmi yang dihadiri oleh DYMM Raja Perempuan, baginda begitu 'sporting' dan memberikan kerjasama yang langsung saya tidak jangkakan. Pada majlis tersebut saya diberi amanah untuk merakamkan gambar baginda bagi pihak jabatan saya. Sesungguhnya, DYMM Tuanku dengan spontan sentiasa memberikan reaksi 'sporting' setiap kali saya memetik lensa kamera. Peristiwa itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam bagi pihak diri saya.

Junjung kasih Tuanku!

Amarah Tok Guru...

Akhirnya, apa yang saya jangka akan keluar dari mulut Tok Guru Nik Aziz berkenaan gelagat beberapa individu yang berada dalam kepimpinan Pas Pusat berlaku juga. Menerusi temuramah yang disiarkan menerusi berita tv3 dan Bernama hari ini, Tok Guru Nik Aziz telah mengeluarkan kenyataan yang cukup keras kepada Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden Pas yang mengekalkan kemenangan dalam muktamar baru-baru ini.

Saya langsung tidak terkejut dengan kenyataan Tok Guru malah selayaknya dan memang tepat Tok Guru mengeluarkan kenyataan itu. Antara lain kata Tok Guru, "kalau nak sangat buat kerajaan perpaduan dengan Umno, letak jawatan sebagai ahli Parlimen Bachok dan masuk je Umno. Buat apa nak bertenggek dalam Pas sedangkan hakikatnya ia hanya memecah-belahkan Pas dan Pakatan Rakyat."

Entah apa reaksi dari Nasharuddin. Apapun kita akan menunggu reaksi balasnya. Cuma yang saya nak fokuskan di sini ialah kenyataan Tok Guru itu. Saya yakin dan ramai yang akan setuju dengan saya bahawa Tok Guru Nik Aziz tidak akan mengeluarkan kenyataan sembarangan jika keadaan tidak terlalu kritikal. Apabila seorang Tok Guru selaku Mursyidul Am mengeluarkan kenyataan yang begitu keras atau boleh dianggap sebagai kata dua, maka kita tidak dapat tidak perlu yakin bahawa Nasharuddin ini adalah antara individu yang memang benar-benar ingin kepingin dengan Umno.

Apapun Pas tidak akan rugi sekiranya kehilangan Nasharuddin nanti kerana masih ramai ahli-ahli Pas yang lebih berkemampuan untuk mengemudi parti. Pas tidak memerlukan pemimpin seperti ini yang hanya akan mengusutkan Pas dan Pakatan Rakyat.

Benarlah seperti bidalan orang tua-tua, tak ada beban, batu digalas. Semoga Nasharuddin bakal mengikuti jejak langkah Nakhaei Ahmad...

Tuesday, June 16, 2009

Haji Hadi and the gangs...masih perlukah lagi memimpin Pas?

Sampai ke hari ini, isu kerajaan perpaduan yang dicanangkan oleh Haji Abdul Hadi Awang bersama 'sekutunya' dalam muktamar Pas baru-baru ini masih belum sunyi dari ulasan pelbagai pihak, baik dari parti Pas, Umno dan individu-individu yang berminat mengikuti perkembangan politik yang agak menarik ini. Isu ini ternyata berjaya meredakan sekejap pergolakan politik di Perak.

Saya yakin isu ini telah mengundang keresahan yang bukan sedikit kepada ahli-ahli Pas dan penyokong Pakatan Rakyat. Agak pelik apabila Haji Abdul Hadi dan sekutunya dalam kepimpinan Pas masih 'degil' untuk terus mempromosikan idea kerajaan perpaduan walaupun ia telah ditolak oleh sayap Pemuda dan Muslimat Pas. Malahan, Mursyidul Am sendiri dengan jelas menolak mentah-mentah idea bodoh ini. Di saat ikatan kerjasama dan persefahaman di kalangan parti-parti dalam Pakatan Rakyat makin utuh, tiba-tiba Haji Hadi dan the gangs sanggup melontarkan idea yang begitu melukakan hati rakan-rakan PKR dan DAP, malahan ahli-ahli Pas sendiri.

Melihat kepada gelagat Haji Hadi dan kumpulan sekutunya ini yang cukup memalukan Pakatan Rakyat, saya berpendapat elok kiranya Haji Hadi dan sekutunya yang berada dalam kepimpinan Pas sekarang agar mengundurkan diri. Tidak ada gunanya mereka ini untuk terus memimpin Pas yang mana hanya akan menjerumuskan Pas ke dalam kehancuran. Di saat Pakatan Rakyat diambang untuk memegang kuasa, kita perlu membersihkan parti dari unsur-unsur yang tidak sihat. Sama jugalah dengan Umno atau parti-parti lain sekiranya ingin terus relevan dan diterima rakyat.

Sepatutnya pun, Haji Hadi dan sekutunya terutama dari Terengganu telah lebih awal berundur dari memegang sebarang jawatan dalam parti peringkat pusat, iaitu sebaik sahaja kerajaan Pas Terengganu jatuh ke tangan BN. Apatah lagi, dalam Pilihanraya Umum 2008, mereka masih gagal mengembalikan Terengganu kepada Pas, sedangkan Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak dapat ditawan Pakatan Rakyat. Kelantan tak payah cakap la.. Dari segi moralnya, mengundurkan diri adalah tindakan yang terbaik dan terpuji sebagaimana mereka mendesak beberapa pemimpin tertentu dalam Barisan Nasional khususnya Umno meletakkan jawatan.
Ditambah pula dengan perbuatan mereka yang seolah-olah sengaja untuk mensabotaj perikatan dalam Pakatan Rakyatsekarang ini. Maka sewajarnya mereka mengambil langkah berundur lebih awal.

Lagipun, saya yakin imej Pas sekarang ini yang semakin mendapat tempat dan diterima oleh segenap lapisan rakyat bukannya berpunca dari individu-individu ini. Tokoh yang paling bertanggungjawab mewujudkan fenomena hebat ini tidak lain ialah Tok Guru Nik Aziz. Saya berdoa dan menaruh harapan tinggi agar Tok Guru Nik Aziz beroleh kekuatan untuk terus mempertahankan Pas dari dimusnahkan oleh beberapa kerat individu yang berkepentingan dan seterusnya melonjakkan Pas di puncak kuasa yang sebenar.

Monday, June 15, 2009

Kes Manohara vs anak raja.

Sebagai seorang rakyat negeri Kelantan, yang kebetulan masih ada rasa kasih kepada institusi istana, saya turut mengikuti perkembangan kisah Tengku Temenggong Kelantan dengan isterinya Manohara Odelia Pinot menerusi kenyataan akhbar dan laman-laman web tertentu yang memuatkan berita tentang pasangan diraja ini. Pelbagai pendapat yang pro dan kontra diutarakan. Namun, saya tidak berminat untuk meyatakan siapa yang salah dan siapa yang betul dalam kes mereka berdua ini.

Cuma saya ingin menitip pandangan tentang perlunya anak-anak raja, malahan para raja dan kerabat diraja agar lebih berhati-hati dalam hal perlakuan dan cara hidup kerana mereka adalah kumpulan turus negeri yang tetap memberi kesan kepada negara/negeri dan rakyat jelata di atas setiap perbuatan atau perlakuan.

Hari ini, pada zaman rakyat jelata sudah celik minda dan pengetahuan, setiap perbuatan, perlakuan, gerak geri dan cara hidup raja, anak-anak raja akan diperhati dan dinilai dengan teliti. Bagi rakyat jelata hari ini, kemuliaan dan kebesaran keluarga diraja bukan dinilai kepada rupa paras yang tampan atau jelita, bukan kepada kehebatan istana, bukan kepada kemewahan gaya hidup dan bukan kepada retorika titah-titah yang muluk-muluk. Tetapi kemuliaan dan kebesaran keluarga diraja (raja, anak-anak raja) dinilai berdasarkan keprihatinan kepada tanggungjawab mereka terhadap rakyat dan negara/negeri. Maka para raja dan anak-anak raja perlu bijak menyesuaikan diri agar tidak terus leka dengan status diraja sampai setiap perbuatan atau perlakuan nampak canggung pada kacamata rakyat.

Sebagai contoh, dalam bab memilih isteri, lebih elok dan manis sekiranya calon isteri itu diambil daripada kalangan sebangsa yang faham adat dan budaya kita kerana isteri itu nanti tetap ada peranan rasmi khusus kepada rakyat. Sesungguhnya, gadis-gadis Melayu yang jelita dan baik budi masih ramai. Cuma perlu usaha dan sedikit rendah diri untuk mencemar duli masuk ke kampung-kampung kerana di situ lah akan ditemui perawan jelita yang suci dan baik budi. Tidak ada gunanya memilih bakal isteri dari golongan selebriti sekiranya nanti bakal mengundang masalah, malahan sampai ke tahap mencemar kebesaran dan darjat istana.

Moga-moga insiden yang sedang berlaku ini akan menjadi pengajaran buat Tengku Temenggong Kelantan demi nama baik istana, rakyat dan negeri Kelantan.

Sejarah sebagai subjek wajib sekolah rendah.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia dalam akhbar Berita Minggu (14 Jun 2009) menumumkan bahawa subjek Sejarah akan dijadikan subjek wajib di sekolah rendah tak lama lagi. Alasan yang diberikan selain selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan, ia akan membantu mempercepatkan proses transfomasi pendidikan.

Secara mudahnya, pengenalan subjek ini diharap mampu membina keperibadian pelajar yang kenal dan cintakan negara hasil dari pengetahuan dan pemahaman tentang sejarah negara. Memang molek cadangan ini. Malahan di peringkat sekolah menengah subjek ini telah ada sejak sekian lama. Saya tidak bercadang untuk mengulas tentang baik buruk idea Kementerian Pelajaran ini kerana saya yakin ramai yang akan menyokong tujuan baik ini.

Cuma saya rasa pihak kementerian khasnya dan masyarakat umumnya terlepas pandang tentang satu subjek yang cukup penting dalam proses pembinaan keperibadian bangsa dan negara kita. Subjek tersebut ialah Kesusasteraan Melayu. Subjek inilah yang mampu menceritakan dan memperlihatkan seterusnya menjelaskan tentang akar budaya bangsa kita, rupa bentuk bangsa kita, nilai-nilai budi dan budaya kita. Subjek ini mampu menerap dan membina keperibadian para pelajar dengan nilai-nilai kemanusiaan yang unggul dan kenal diri, bangsa dan budaya.

Malangnya, disebabkan salah pemahaman tentang subjek ini, maka ia dianggap tidak penting dan boleh diabaikan. Salah pemahaman ini berlaku disebabkan kita hanya menafsirkan subjek Kesusasteraan Melayu itu hanyalah subjek yang mengajar cerita semata-mata hasil ilham dan imaginasi seseorang pengarang, tanpa kita ada rasa untuk mengenal inti makna sebenar kesusasteraan itu.

Bangsa-bangsa besar di dunia amat menyanjungi tinggi hasil-hasil kesusasteraan mereka. Kesusasteraan mendapat tempat yang tinggi dalam masyarakat. Malahan, jika kita melihat ke belakang, para orientalis barat telah menggunakan hasil-hasil Kesusasteraan Melayu (lama) untuk mengkaji dan mengenal rupa bentuk keperibadian bangsa Melayu. Namun kita di negara ini belum sampai ke tahap yang sepatutnya untuk mengenal makna dan kepentingan mata pelajaran ini dalam usaha menjayakan matlamat Falsafah Pendidikan Negara.

Sunday, June 14, 2009

Nasib Bahasa Melayu...

Menerusi akhbar Berita Minggu hari ini (14 Jun 2009), dalam ruangan rencana telah disiarkan pandangan Datuk Dr. Nik Safiah Karim tentang isu PPSMI. Begitu juga pandangan Prof Dr. Isahak Haron tentang cadangan mewajibkan calon SPM lulus Bahasa Inggeris.

Kedua-dua tokoh ini walaupun mengakui kpentingan Bahasa Inggeris, namun jelas tidak bersetuju dengan dasar PPSMI kerana buruknya lebih banyak dari baik. Saya tertarik dengan kenyataan Dr. Nik Safiah. Katanya;

"...kita menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris itu penting.
Bagaimanapun dalam konteks negara dan kenegaraan, bahasa
kebangsaan kita lebih penting.... Sepatutnya perasaan cinta akan
dan berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri hendaklah
dikaitkan dengan bahasa Melayu...Bahasa Inggeris digunakan
sebagai bahasa utiliti, bahasa untuk mencari ilmu pengetahuan
dan untuk berhubung dengan dunia luar."

Demikian juga dengan Prof. Dr. Isahak yang mahukan dasar PPSMI ini dimansuhkan. Sebenarnya seperti yang kita sedia maklum, bukan setakat dua tokoh ini sahaja yang menentang dasar PPSMI ini, malahan sebahagian ahli akademik dan rakyat turut menentang dan menuntut dasar ini ditarikbalik sehingga mencetuskan demonstrasi baru-baru ini.

Apa yang saya nak ulas di sini ialah betapa teruknya kita kerana mempunyai pemimpin dan 'orang atasan' yang jelas tidak ada semangat kecintaan kepada bahasa dan tanahair sendiri. Walaupun rupa paras dan warna kulitnya Melayu, ternyata jiwa dan pemikirannya jelas diserap dengan jiwa kepenjajahan lampau. Orientasi pendidikan masa kecil yang diterima memungkinkan sifat ini berlaku. Memandang hina dan lekeh kepada kepunyaan sendiri, sebaliknya berbangga dengan kepunyaan orang.

Atas sebab itu, saya berani menyatakan bahawa bangsa Melayu ini sebenarnya adalah bangsa yang berjiwa kecil. Walaupun kita disajikan dengan cerita-cerita sejarah tentang kehebatan empayar orang Melayu suatu masa dahulu (Empayar Kesultanan Melaka), konon untuk menunjukkan betapa hebat dan besarnya jiwa orang Melayu, namun hakikat hari ini ternyata sebaliknya. Kita malu dengan budaya dan bahasa sendiri. Lantas kita begitu berbangga dengan bahasa dan budaya luar khususnya barat. Tidak seperti kaum Cina dan India yang sangat-sangat bangga dan memelihara adat budaya dan bahasa mereka.

Kesan jiwa inilah yang memungkinkan para pemimpin kita sanggup melaksanakan dasar 'bodoh' ini. Walaupun mereka mendakwa mereka tidak bodoh sebaliknya memandang ke depan. Amat malang bagi kita mempunyai orang-orang 'berjiwa kecil' yang mengurus dan menggubal dasar negara. Makanya, walau seramai mana rakyat memohon, mendesak malah bertempik sekalipun, pasti tidak akan ke mana.

Lebih mengecewakan dan menambah rasa marah bila Menteri Pelajaran baru mencadangkan untuk mewajibkan calon-calon SPM lulus bahasa Inggeris. Sedang persoalan dasar PPSMI masih belum selesai, tiba-tiba dicadangkan satu dasar baru dan kesemuanya adalah untuk mengangkat martabat bahasa Inggeris dan menolak ke tepi bahasa Melayu. Entah apa bangangnya menteri kita dan apakah balanya sampai kita rakyat jelata berterusan disuap dengan idea-idae bodoh lagi membodohkan ini.

Kenapa tidak sahaja dikaji dan diperbaiki kaedah P&P bahasa Inggeris di sekolah-sekolah sekarang? Bayangkan pelajar-pelajar kita didedahkan dengan P&P bahasa Inggeris sejak dari tahun satu hingga tingkatan enam lagi. Tetapi mengapa sebahagian besar pelajar masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Sepatutnya itu yang dicari dan diperbaiki. Ini tidak, lain yang tak kena, lain pulak yang dibaiki.

Ahmadinejad kekal sebagai Presiden Iran.

Saya begitu teruja dan mengucapkan tahniah di atas kemenangan Ahmadinejad sebagai Presiden Republik Islam Iran untuk penggal yang kedua. Apatah lagi beliau telah memperolehi peratusan undi yang begitu besar dan meninggalkan pesaingnya jauh ke belakang.

Kemenangan lelaki 'kecil' ini akan terus merimaskan dunia barat dan Israel kerana lelaki ini merupakan satu-satunya tokoh pemimpin dunia Islam yang begitu lantang dan berani menyanggah kebiadapan dan kejahatan barat. Sekurang-kurangnya masih ada sumber kekuatan bagi umat Islam untuk mendongakkan muka dari terus dihina, dilanyak sesuka hati oleh musuh-musuh Islam hasil kerjasama golongan munafikin.

Saya berbesar hati untuk menyatakan bahawa sekiranya ada 10 orang pemimpin Islam seperti Ahmadinejad ini, sudah pasti kedudukan umat Islam tidak seperti hari ini. Umat Islam pasti tidak akan berani diperlakukan sesuka hati. Malangnya, kita hanya mampu melihat bagaimana pemimpin umat Islam terdiri daripada golongan munafik yang jelas dan bangga bersekongkol dengan musuh-musuh Islam

Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan tahniah di atas kemenangan besar ini demi memastikan 'survival' negara Iran khasnya dan umat Islam dunia amnya akan terus dibela oleh tokoh 'kerdil' ini..