Monday, July 20, 2009

Manek Urai: Benarkah Umno mula diterima?

Saya masih teringin untuk mengulas tentang pilihanraya kecil Manek Urai yang telah berlangsung baru-baru ini. Teringin kerana dalam media massa dicanangkan bahawa berdasarkan peratusan undi yang meningkat untuk Umno, maka dikatakan bahawa pengundi di Manek Urai khususnya sudah mula menerima kembali Umno dan ini dijadikan petunjuk Umno akan bertapak kembali di Kelantan.

Mungkin ada benarnya dakwaan ini bagi sesetengah orang. Tapi saya tidak fikir bahawa dakwaan ini tepat. Benar undi untuk Umno meningkat mendadak. Juga benar apabila saluran peti undi tradisi Pas kalah seperti di Laloh. Malah, tidak dapat ditolak dakwaan bahawa sepatutnya Umno/BN menang dalam pilihanraya tersebut jika perancangan mereka berjalan lancar ke saat hari mengundi.

Kita harus sedar bahawa dalam setiap pilihanraya kecil, maka seluruh jentera BN (agensi kerajaan sebenarnya) dikerah dan dipaksa untuk berkempen demi memastikan kemenangan mereka. Jumlah wang yang mencecah jutaan ringgit ditabur untuk mengabui mata orang-orang 'kampung' Manek Urai. Ditambah dengan tahap sosioekonomi dan pendidikan bagi kawasan pendalaman, yang masih ketinggalan dari aspek kemudahan asas dan prasarana, maka akhirnya penduduk Manek Urai termakan umpan Umno. Tetapi disebabkan janji untu memberikan wang dalam sekian banyak jumlahnya pada hari mengundi dimungkiri, maka pengundi yang sepatutnya mengundi Umno telah berpaling tadah. Kesannya, Umno tetap kalah walaupun dengan majoriti tipis 65 undi. Di pihak Pas pula, hanya berbekalkan ceramah yang berterusan mempersoalkan keburukan di pihak kerajaan Persekutuan yang didokongi oleh BN. Tanpa segala kemudahan kewangan, Pas tetap diberi kemenangan juga.

Untuk mendapatkan jawapan sebenar sama ada Umno/BN sudah mendapat sokongan kembali atau tidak, kita tunggu sahaja pilihanraya umum nanti. Kerana pada masa itu, setiap parti terpaksa berlawan sendiri dengan kekuatan domestik sahaja. Seluruh negara tidak akan mampu untuk turun ke setiap kawasan kerana masing-masing terpaksa menjaga kawasan sendiri.

Walau bagaimana pun, Pas tidak boleh lena sekarang. Mahu tidak mahu, mereka juga terpaksa bekerja keras membetulkan kesilapan dan sikap 'tidur' dan 'tak apa' terhadap permasalahan dan keperluan yang dikehendaki oleh pengundi Manek Urai.

Wednesday, July 15, 2009

N41 Manek Urai.

Semalam berlangsungnya pilihanraya kecil bagi Dewan Undangan Negeri N41 Manek Urai. Keputusan telahpun diketahui dengan Pas mengekalkan penguasaannya walaupun dengan kemenangan tipis 65 undi. Keputusan pengundian memperlihatkan undi Pas merosot, manakala undi untuk Umno meningkat begitu ketara sekali.

Walau apapun, Pas perlu mengkaji dengan teliti faktor kemerosotan ini demi untuk memastikan kerusi Manek Urai akan terus menjadi milik Pas dalam plihanraya umum akan datang. Umno sudah pasti akan terus bersemangat untuk 'menawan' Manek Urai biarpun kekalahan ini begitu pahit untuk diterima setelah mengerah segala jenis jentera kerajaan dan menghabiskan begitu banyak wang.

Saya suka untuk menyentuh isu pilihanraya ini dari sudut bagaimana setiap parti yang bertanding berusaha untuk memenangi hati pengundi. Pas dan Pakatan Rakyat terus berusaha untuk mendedahkan kepincangan kerajaan Barisan Nasional dan menyeru para pengundi agar memilih mereka untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang telus, adil dan selaras dengan kehendak Islam. Umno dan BN dengan kelebihan kewangan, terus menabur janji kebendaan dan mengagihkan duit ringgit kepada para penduduk Manek Urai agak memilih mereka. Ternyata sepanjang tempoh berkempen, penduduk Manek Urai agak bertuah kerana ditaburi dengan wang ringgit dan kebendaan.

Di sini, kita melihat bagaimana Umno dan BN masih dengan taktik lama dalam mempengaruhi pengundi. Bagaimanapun ia tetap berkesan bagi kawasan yang agak mundur, pedalaman dan agak ketinggalan dari kemudahan prasarana awam. Apatah lagi di kawasan yang majoritinya atau hampir seratus peratus Melayu. Tidakkah sedar bahawa, keadaan ini begitu sinonim dengan orang Melayu. Tabur sahaja duit, sudah pasti mengena. Kadang-kadang terasa malu juga dengan orang-orang Melayu ini. Terfikir juga bagaimana bila disebut orang Melayu, kaum-kaum lain khususnya Cina dan India akan tersenyum sinis melihat gelagat orang Melayu yang mudah digula-gulakan dengan wang ringgit dan janji pembangunan. Terasa betapa rendah dan tidak bernilainya maruah orang-orang Melayu.

Jika beginilah keadaannya, sampai bila pun orang Melayu akan terus dan senang dipermainkan oleh pihak yang berkepentingan. Nasib la orang Melayu...

Monday, July 6, 2009

Bila Setiap kali Pilihanraya...

Hari ini 6hb. Jun 2009 merupakan hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil N41 Manek Urai, yang terletak dalam Parlimen Kuala Krai, Kelantan. Satu lagi pilihanraya kecil yang ke sekian kalinya setelah beberapa siri pilihanraya kecil sepanjang tahun ini. Kali ini menyaksikan pertembungan musuh tradisi- Pas dan Umno. Pas berusaha untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi, manakala Umno/BN berusaha untuk merampas bagi memulihkan balik imej dan kredebiliti yang teruk tercemar setelah kalah berterusan dalam pilihanraya kecil sebelum ini. Juga sebagai usaha peribadi bagi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang baru- Mustapha Mohamad.

Siapa yang akan jadi pemenang bakal diketahui apabila tiba hari mengundi 14hb. Jun nanti. Kedua-dua parti sekarang sedang giat berkempen untuk memenangi hati pengundi Manek Urai. Pelbagai cara dan taktik dilakukan, yang kesemuanya masih seperti dulu, tidak berubah. Kadang-kala melucukan, tak kurang juga mengundang rasa menyampah. Terpampang jelas betapa hipokritnya para pemimpin kita hari ini.

Pada masa inilah masing-masing cuba menunjukkan sifat keprihatinan dan caknanya akan kebajikan rakyat, terutama yang miskin dan daif. Tanpa segan silu, para pemimpin dari yang 'besar' hingga yang 'kecil' bertali arus mengunjungi rumah-rumah daif menziarahi dan bertanya khabar sambil menghulurkan sedikit sumbangan. Segala kesulitan rakyat bawahan seboleh-bolehnya akan cuba dipenuhi. Berbuih mulut berjanji itu dan ini. Senyuman tak payah cakap la, tersengih sepanjang hari. Cakap nak apa..kayu, batu, atap zink..semua akan dibagi walaupun dua tiga keping. Maka terpampang lah dalam akhbar gambar pemimpin prihatin bersama rakyat.

Malang sungguh kita rakyat Malaysia yang mempunyai pemimpin yang begitu rendah tahap akal dan jelek budinya. Perbuatan mereka itu sebenarnya tak lebih sekadar untuk membuktikan betapa hinanya rakyat bawahan. Kalau tidak kerana pilihanraya, haram kalau mereka nak datang berduyun-duyun jengukkan muka meninjau masalah rakyat. Malahan, setiap permasalahan dan kebajikan rakyat langsung tidak dihiraukan walaupun berpuluh aduan dikemukakan. Sebab itu saya katakan kita mempunyai pemimpin yang hipokrit dan jelek budi kerana hanya berpura-pura baik bila ada sesuatu yang mereka tagih dari rakyat. Rayat diperlakukan seolah-olah mereka ini bodoh dan tidak boleh berfikir. Walhal, di kalangan rakyat jelata jauh lebih cerdik dari kebanyakan pemimpin kita hari ini.

Kalau benar pemimpin kita jenis yang betul-betul ikhlas prihatin akan kebajikan rakyat bawahan, tidak perlu tunggu pilihanraya. Sepanjang masa mereka perlu turun menjenguk, meninjau dan cuba menyelesaikan masalah rakyat. Sebab itu, kadang-kadang terfikir juga oleh kita, baik kita doakan supaya wakil-wakil rakyat kita cepat mati supaya boleh sentiasa diadakan pilihanraya. Bila ada pilihanraya, barulah nasib rakyat jelata diambil tahu oleh semua orang.