Tuesday, April 20, 2010

Pilihanraya kecil Hulu Selangor.

Terpanggil pula saya untuk tumpang semangkuk mengulas pasal pilihanraya kecil yang terbaru melibatkan kawasan hulu Selangor. Mulanya tidak ingin saya nak bercakap tentang pilihanraya ini. Tapi bila melihat dan membaca artikel di internet dan akhbar akan taktik keji yang dilemparkan ke atas calon PKR (Zaid Ibrahim), jiwa ini rasa bergelora dan mula panas hati.

Semua pihak sudah sedia maklum bahawa pilihanraya ini akan menyaksikan pertembungan BN (MIC) dan Pakatan Rakyat (PKR). Dua calon bebas dah tarik diri. Dah memang begitu jenisnya. Saya tak pasti siapa yang akan menang, tapi beberapa tanda yang berlaku pada peringkat menamakan calon boleh memberikan petunjuk. Pakatan Rakyat kiranya langsung tidak ada masalah memilih calon. Semua parti gabungan bersetuju dan akur Zaid Ibrahim sebagai calon mewakili PKR kerana kawasan ini adalah asalnya milik PKR. Dan tidak perlu dilayan individu yang kecewa kerana tidak dicalon lantas keluar parti dengan alasan yang boleh meyebabkan lembu kambing terberak terkencing geli hati.

Namun, di pihak BN jelas adanya kontroversi memilih calon. Umno Selangor (khusus hulu Selangor mahukan calon parti mereka atas alasan majoriti pengundi adalah Melayu). MIC pula berkeras mahukan calon mereka kerana kerusi parlimen kawasan ini asalnya milik parti mereka. Akhirnya MIC berjaya. Lantas timbul pula perbalahan menentukan calon dari MIC. Kecoh dan tegang jadinya. Walau apapun dah rezeki Kamalanathan la gamaknya.

Soal pertama ini sudah boleh membri petunjuk tentang kemungkinan peluang cerah untuk PKR menang. Alasannya, semua parti gabungan dan peyokong Pakatan Rakyat sudah tentu memberikan undi kepada Zaid. Tetapi di BN, belum tentu. Kita tidak dapat menolak akan kemungkinan adanya undi protes baik dari pihak kaum Melayu (yang kecewa Umno tak jadi calon) mahupun dari puak-puak dari kaum India yang kecewa orang pilihan mereka tidak dicalonkan.

Petunjuk yang kedua, tentang taktik keji yang dilemparkan kepada Zaid kononnya beliau adalah peminum arak tegar. Maklumat yang saya dapat dari internet menunjukkan perbuatan jahat menggunakan teknik 'superimpose' memaparkan perlakuan Zaid meneguk dan memegang arak. Malangnya usaha jahat ini tidak lama sebab dapat dikesan dan tembelangnya terbongkar. Walaupun Hishamuddin Hussein cuba menjelaskan perbuatan ini dari pihak blogger dan bukan Umno, rasanya rakyat yang cerdik boleh agak siapa dalang di sebaliknya. Bagi saya, taktik ini akan hanya memakan diri sendiri dan boleh mengundang simpati kepada Zaid. Diketahui bahawa Zaid sendiri sudah mengaku kesilapan masa lampaunya dan telah pun bertaubat. Semua orang Islam yang baik tahu akan hakikat taubat. Jadi, masalah ini sudah tidak berbangkit. Apatah lagi Zaid sudah mendapat sokongan Hadi Awang dan Nik Aziz sendiri.

Yang paling teruk sekarang apabila tindakan balas dari pihak bloggers yang pro-Pakatan. Baru sekejap tadi saya menyaksikan gambar-gambar pimpinan Umno dengan gelas arak. Kemungkinan besar akan ada banyak lagi gambar eksklusif pimpinan Umno yang 'mesra' arak akan disiarkan. Tidakkah ini merupakan perbuatan yang memakan diri sendiri. Di sinilah tampak betapa bodohnya para bloggers pro-BN/Umno yang kononnya hendak melanyak Zaid, tapi akhirnya membongkar keburukan peribadi pimpinan mereka. Mana nak letak muka. Khabarnya beberapa pemimpin Islam Umno sudah tidak selesa jikalau gambar dan perbuatan keji mereka turut sama dilibatkan.

Jadinya, keadaan ini akan memberikan kelebihan kepada Zaid untuk menang. Itupun sekiranya pengundi di hulu Selangor dapat membuat penilaian yang cerdik dan bijaksana. Bukan apa, sogokan kebendaan telah jelas memperlihatkan bagaimana manusia boleh gelap mata dan hati.

Sebagai rumusan, saya mendapati BN sudah kehabisan modal untuk memperlekehkan Pakatan Rakyat. Maka, hal-hal peribadi dijadikan modal. Cuma yang lucunya, taktik serangan itu balik memakan diri sendiri. Sekiranya Zaid menang, ini satu kemenangan moral bagi beliau dan tentunya menepis dakwaan Umno/BN bahawa Pakatan Rakyat khususnya PKR telah kehilangan sokongan. Dalam masa yang sama, BN akan terus berada dalam dilema dan cemas untuk menagih kembali sokongan rakyat yang secara tidak langsung menunjukkan dasar Najib belum diterima rakyat. Paling teruk menerima kesan ialah MIC dan Samy Vellu sendiri. Gelap masa depan.

Tetapi, jika BN menang ia merupakan satu modal untuk menunjukkan bahawa BN telah menerima kembali sokongan rakyat. Akan dicanangkan bahawa Pakatan Rakyat khusus PKR makin lemah dan akan luput. Juga kemenangan ini akan memberi kemenangan moral kepada Muhyiddin amnya dan Najib khususnya. Juga Samy Vellu.

No comments:

Post a Comment