Monday, July 20, 2009

Manek Urai: Benarkah Umno mula diterima?

Saya masih teringin untuk mengulas tentang pilihanraya kecil Manek Urai yang telah berlangsung baru-baru ini. Teringin kerana dalam media massa dicanangkan bahawa berdasarkan peratusan undi yang meningkat untuk Umno, maka dikatakan bahawa pengundi di Manek Urai khususnya sudah mula menerima kembali Umno dan ini dijadikan petunjuk Umno akan bertapak kembali di Kelantan.

Mungkin ada benarnya dakwaan ini bagi sesetengah orang. Tapi saya tidak fikir bahawa dakwaan ini tepat. Benar undi untuk Umno meningkat mendadak. Juga benar apabila saluran peti undi tradisi Pas kalah seperti di Laloh. Malah, tidak dapat ditolak dakwaan bahawa sepatutnya Umno/BN menang dalam pilihanraya tersebut jika perancangan mereka berjalan lancar ke saat hari mengundi.

Kita harus sedar bahawa dalam setiap pilihanraya kecil, maka seluruh jentera BN (agensi kerajaan sebenarnya) dikerah dan dipaksa untuk berkempen demi memastikan kemenangan mereka. Jumlah wang yang mencecah jutaan ringgit ditabur untuk mengabui mata orang-orang 'kampung' Manek Urai. Ditambah dengan tahap sosioekonomi dan pendidikan bagi kawasan pendalaman, yang masih ketinggalan dari aspek kemudahan asas dan prasarana, maka akhirnya penduduk Manek Urai termakan umpan Umno. Tetapi disebabkan janji untu memberikan wang dalam sekian banyak jumlahnya pada hari mengundi dimungkiri, maka pengundi yang sepatutnya mengundi Umno telah berpaling tadah. Kesannya, Umno tetap kalah walaupun dengan majoriti tipis 65 undi. Di pihak Pas pula, hanya berbekalkan ceramah yang berterusan mempersoalkan keburukan di pihak kerajaan Persekutuan yang didokongi oleh BN. Tanpa segala kemudahan kewangan, Pas tetap diberi kemenangan juga.

Untuk mendapatkan jawapan sebenar sama ada Umno/BN sudah mendapat sokongan kembali atau tidak, kita tunggu sahaja pilihanraya umum nanti. Kerana pada masa itu, setiap parti terpaksa berlawan sendiri dengan kekuatan domestik sahaja. Seluruh negara tidak akan mampu untuk turun ke setiap kawasan kerana masing-masing terpaksa menjaga kawasan sendiri.

Walau bagaimana pun, Pas tidak boleh lena sekarang. Mahu tidak mahu, mereka juga terpaksa bekerja keras membetulkan kesilapan dan sikap 'tidur' dan 'tak apa' terhadap permasalahan dan keperluan yang dikehendaki oleh pengundi Manek Urai.

No comments:

Post a Comment