Monday, July 6, 2009

Bila Setiap kali Pilihanraya...

Hari ini 6hb. Jun 2009 merupakan hari penamaan calon bagi pilihanraya kecil N41 Manek Urai, yang terletak dalam Parlimen Kuala Krai, Kelantan. Satu lagi pilihanraya kecil yang ke sekian kalinya setelah beberapa siri pilihanraya kecil sepanjang tahun ini. Kali ini menyaksikan pertembungan musuh tradisi- Pas dan Umno. Pas berusaha untuk mengekalkan kerusi yang dimenangi, manakala Umno/BN berusaha untuk merampas bagi memulihkan balik imej dan kredebiliti yang teruk tercemar setelah kalah berterusan dalam pilihanraya kecil sebelum ini. Juga sebagai usaha peribadi bagi Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan yang baru- Mustapha Mohamad.

Siapa yang akan jadi pemenang bakal diketahui apabila tiba hari mengundi 14hb. Jun nanti. Kedua-dua parti sekarang sedang giat berkempen untuk memenangi hati pengundi Manek Urai. Pelbagai cara dan taktik dilakukan, yang kesemuanya masih seperti dulu, tidak berubah. Kadang-kala melucukan, tak kurang juga mengundang rasa menyampah. Terpampang jelas betapa hipokritnya para pemimpin kita hari ini.

Pada masa inilah masing-masing cuba menunjukkan sifat keprihatinan dan caknanya akan kebajikan rakyat, terutama yang miskin dan daif. Tanpa segan silu, para pemimpin dari yang 'besar' hingga yang 'kecil' bertali arus mengunjungi rumah-rumah daif menziarahi dan bertanya khabar sambil menghulurkan sedikit sumbangan. Segala kesulitan rakyat bawahan seboleh-bolehnya akan cuba dipenuhi. Berbuih mulut berjanji itu dan ini. Senyuman tak payah cakap la, tersengih sepanjang hari. Cakap nak apa..kayu, batu, atap zink..semua akan dibagi walaupun dua tiga keping. Maka terpampang lah dalam akhbar gambar pemimpin prihatin bersama rakyat.

Malang sungguh kita rakyat Malaysia yang mempunyai pemimpin yang begitu rendah tahap akal dan jelek budinya. Perbuatan mereka itu sebenarnya tak lebih sekadar untuk membuktikan betapa hinanya rakyat bawahan. Kalau tidak kerana pilihanraya, haram kalau mereka nak datang berduyun-duyun jengukkan muka meninjau masalah rakyat. Malahan, setiap permasalahan dan kebajikan rakyat langsung tidak dihiraukan walaupun berpuluh aduan dikemukakan. Sebab itu saya katakan kita mempunyai pemimpin yang hipokrit dan jelek budi kerana hanya berpura-pura baik bila ada sesuatu yang mereka tagih dari rakyat. Rayat diperlakukan seolah-olah mereka ini bodoh dan tidak boleh berfikir. Walhal, di kalangan rakyat jelata jauh lebih cerdik dari kebanyakan pemimpin kita hari ini.

Kalau benar pemimpin kita jenis yang betul-betul ikhlas prihatin akan kebajikan rakyat bawahan, tidak perlu tunggu pilihanraya. Sepanjang masa mereka perlu turun menjenguk, meninjau dan cuba menyelesaikan masalah rakyat. Sebab itu, kadang-kadang terfikir juga oleh kita, baik kita doakan supaya wakil-wakil rakyat kita cepat mati supaya boleh sentiasa diadakan pilihanraya. Bila ada pilihanraya, barulah nasib rakyat jelata diambil tahu oleh semua orang.

1 comment:

  1. ya betul2..apa la pemimpin..ops silap x leh panggil pemimpin,x sesuai ngan gelaran pemimpin..blh dikatakan kita panggil penagih..penagih simpati rakyat,penagih glamor,penagih jawatan,penagih wang,dan segala penagih la...dah la ganti nama pemimpin kepada penagih la plak..memang sesuai.

    ReplyDelete