Sunday, June 14, 2009

Nasib Bahasa Melayu...

Menerusi akhbar Berita Minggu hari ini (14 Jun 2009), dalam ruangan rencana telah disiarkan pandangan Datuk Dr. Nik Safiah Karim tentang isu PPSMI. Begitu juga pandangan Prof Dr. Isahak Haron tentang cadangan mewajibkan calon SPM lulus Bahasa Inggeris.

Kedua-dua tokoh ini walaupun mengakui kpentingan Bahasa Inggeris, namun jelas tidak bersetuju dengan dasar PPSMI kerana buruknya lebih banyak dari baik. Saya tertarik dengan kenyataan Dr. Nik Safiah. Katanya;

"...kita menerima hakikat bahawa bahasa Inggeris itu penting.
Bagaimanapun dalam konteks negara dan kenegaraan, bahasa
kebangsaan kita lebih penting.... Sepatutnya perasaan cinta akan
dan berbangga dengan bahasa kebangsaan sendiri hendaklah
dikaitkan dengan bahasa Melayu...Bahasa Inggeris digunakan
sebagai bahasa utiliti, bahasa untuk mencari ilmu pengetahuan
dan untuk berhubung dengan dunia luar."

Demikian juga dengan Prof. Dr. Isahak yang mahukan dasar PPSMI ini dimansuhkan. Sebenarnya seperti yang kita sedia maklum, bukan setakat dua tokoh ini sahaja yang menentang dasar PPSMI ini, malahan sebahagian ahli akademik dan rakyat turut menentang dan menuntut dasar ini ditarikbalik sehingga mencetuskan demonstrasi baru-baru ini.

Apa yang saya nak ulas di sini ialah betapa teruknya kita kerana mempunyai pemimpin dan 'orang atasan' yang jelas tidak ada semangat kecintaan kepada bahasa dan tanahair sendiri. Walaupun rupa paras dan warna kulitnya Melayu, ternyata jiwa dan pemikirannya jelas diserap dengan jiwa kepenjajahan lampau. Orientasi pendidikan masa kecil yang diterima memungkinkan sifat ini berlaku. Memandang hina dan lekeh kepada kepunyaan sendiri, sebaliknya berbangga dengan kepunyaan orang.

Atas sebab itu, saya berani menyatakan bahawa bangsa Melayu ini sebenarnya adalah bangsa yang berjiwa kecil. Walaupun kita disajikan dengan cerita-cerita sejarah tentang kehebatan empayar orang Melayu suatu masa dahulu (Empayar Kesultanan Melaka), konon untuk menunjukkan betapa hebat dan besarnya jiwa orang Melayu, namun hakikat hari ini ternyata sebaliknya. Kita malu dengan budaya dan bahasa sendiri. Lantas kita begitu berbangga dengan bahasa dan budaya luar khususnya barat. Tidak seperti kaum Cina dan India yang sangat-sangat bangga dan memelihara adat budaya dan bahasa mereka.

Kesan jiwa inilah yang memungkinkan para pemimpin kita sanggup melaksanakan dasar 'bodoh' ini. Walaupun mereka mendakwa mereka tidak bodoh sebaliknya memandang ke depan. Amat malang bagi kita mempunyai orang-orang 'berjiwa kecil' yang mengurus dan menggubal dasar negara. Makanya, walau seramai mana rakyat memohon, mendesak malah bertempik sekalipun, pasti tidak akan ke mana.

Lebih mengecewakan dan menambah rasa marah bila Menteri Pelajaran baru mencadangkan untuk mewajibkan calon-calon SPM lulus bahasa Inggeris. Sedang persoalan dasar PPSMI masih belum selesai, tiba-tiba dicadangkan satu dasar baru dan kesemuanya adalah untuk mengangkat martabat bahasa Inggeris dan menolak ke tepi bahasa Melayu. Entah apa bangangnya menteri kita dan apakah balanya sampai kita rakyat jelata berterusan disuap dengan idea-idae bodoh lagi membodohkan ini.

Kenapa tidak sahaja dikaji dan diperbaiki kaedah P&P bahasa Inggeris di sekolah-sekolah sekarang? Bayangkan pelajar-pelajar kita didedahkan dengan P&P bahasa Inggeris sejak dari tahun satu hingga tingkatan enam lagi. Tetapi mengapa sebahagian besar pelajar masih tidak dapat menguasai bahasa Inggeris. Sepatutnya itu yang dicari dan diperbaiki. Ini tidak, lain yang tak kena, lain pulak yang dibaiki.

1 comment:

  1. tertarik ngan tajuk ni..memang anak2 era masa kini x th bahasa melayu..
    yang diorg tahu..sorry bukan maaf...i love you bukan saya sayang awak..book bukan buku..toilot bikan tandas..teacher bukan cikgu..lecture bukan pensyarah..godmorning bukan selamat pagi..thank you bukan terima kasih....bye2 bukan salam..dan banyak lagi...itu adalah antara2 bahasa anak2 masa kini..rasanya perkataan tu dah diguna masa penjajahan british kot...lama2 pupus la bahasa melayu..

    ReplyDelete